Contact Me !


Raja! Cerita Yang Sebenar

Posted by Unknown On Thursday, January 31, 2013 No comments


KOTA BHARU – Isu Mohd. Badri Radzi tidak disenaraikan dalam skuad kebangsaan pimpinan Datuk K. Rajagobal akan berterusan selagi jurulatih itu terus bersikap mengelak daripada menceritakan keadaan sebenar.
“Hanya Rajagobal yang boleh meredakan isu hangat antara dia dan Badri (Piya),” kata legenda bola sepak Kelantan, Dali Omar yang ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menyifatkan tindakan itu amat ‘tidak kena’, Dali berkata, sebagai seorang jurulatih, Rajagobal sepatutnya memberitahu kesilapan dan kekurangan Piya, agar pemain itu dapat memperbaikinya dan tidak kempunan menyarung jersi kebangsaan.
Bagi Dali, Piya pada anggapannya pemain tengah terbaik di Malaysia buat masa ini, jauh lebih baik daripada pemain Johor Darul Takzim, Safiq Rahim yang menjadi pilihan utama Rajagobal tetapi digantung perlawanan.
Jelasnya, Piya mempunyai kelebihan daripada semua segi seperti kelebihan membuat sepakan sudut, pergerakan tangkas, kawalan serta hantaran bola.
“Saya hairan, apa masalah Rajagobal sebenarnya? Adakah kerana dia ada isu peribadi dengan sesiapa sehingga dia enggan ambil Piya? Tidakkah dia sedar bahawa Piya pemain tengah terbaik negara sekarang? Kalau dibandingkan antara Piya dan Safiq bagai langit dengan bumi, Piya lengkap segala segi tapi Safiq hanya pakar sepakan sudut sahaja.
“Anda kena jujur memberitahu kepada pemain corak permainan bagaimana yang anda mahu serta kelemahan mereka,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Beliau diminta mengulas tindakan Rajagopal yang terus menyisihkan Mohd. Badri daripada skuad kebangsaan yang akan memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar pada 6 Februari ini.
Dali merupakan bekas pemain kebangsaan pada awal 1970-an dan selain Kelantan, dia pernah mewakili beberapa kelab di Australia selepas mengambil keputusan berhijrah sebelum mengakhiri karier sebagai jurulatih di negara berkenaan.
Menurut Dali, tindakan Rajagobal mengambil pemain muda bagi mengisi kekosongan pemain yang cedera akan membawa padah kepada pasukan negara dalam kempen Kelayakan Piala Asia.
Beliau berkata, untuk bermain di peringkat yang tinggi, Rajagobal sepatutnya menghantar pemain berusia 27 tahun ke atas kerana pada usia itulah pemain negara berada pada tahap paling matang sama ada dari sudut fizikal dan kawalan emosi.
Jelasnya, Rajagobal sepatutnya faham tahap pemain Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan pemain Liga Perdana Inggeris yang matang lebih awal pada usia 22 dan 23 tahun.
“Kita tidak akan mencapai apa-apa dalam Piala Asia nanti dan apa-apa kejohanan sekalipun jika beginilah cara Rajagobal memilih pemain kebangsaan, seolah-olah macam memilih dan mencampak bahan masakan dalam periuk sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (kelate.net) menempelak sikap pengendali Harimau Malaya itu yang mengaitkan dua bekas pengendali The Red Warriors, Datuk M. Karathu dan B. Sathianathan sebagai punca kegagalannya menyenaraikan Piya.
Timbalan Presiden kelate.net Mahizi Mahmood menegaskan, tindakan tersebut mencermin sikap sebenar pengendali Harimau Malaya yang dilihat seolah-olah memperlekehkan kemampuan pemain paling berpengaruh dalam pasukan Kelantan.
“Menjadikan Karathu dan Sathianathan sebagai punca kenapa beliau tidak memilih Piya untuk beraksi dalam skuad kebangsaan adalah sesuatu yang tidak profesional dan boleh memberikan gambaran kurang baik kepada kedua-dua tokoh berkenaan.
“Selaku peminat bola sepak, kami tidak boleh menerima alasan tersebut, dan dalam hal ini beliau perlu berterus terang bagi membolehkan semua orang tahu kenapa Piya tiada dalam skuad negara.
“Tindakan ini menunjukkan seolah-olah beliau mahu ‘cuci tangan’ dalam isu ini. Hanya beliau yang mempunyai kuasa untuk memilih pemain bagi menyarung jersi kebangsaan atas kapasiti selaku ketua jurulatih,” katanya.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment