Contact Me !


9 buah kedai hangus terjejas dalam kebakaran di Georgetown

Posted by Unknown On Monday, February 25, 2013
GEORGETOWN - Sederet sembilan buah rumah kedai dua tingkat terjejas dalam kebakaran di Jalan C.Y. Choy di sini malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Ismail Mohd. Zin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.55 malam dan tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian.
Beliau berkata, seramai 32 anggota dengan enam jentera dari Balai Bomba Bagan Jermal dan Lebuh Pantai bersama anggota bomba sukarela terlibat dalam operasi memadam kebakaran itu.
Katanya, kebakaran dipercayai bermula di kedai makan sebelum merebak ke kedai motosikal dan kedai lain termasuk kedai barangan elektrik serta kedai telefon.
"Ketika jentera bomba kita tiba, kedai makan dan kedai motosikal musnah dijilat api manakala kedai-kedai yang lain terbakar 20 ke 50 peratus. Api cepat merebak kerana lantai premis berkenaan dibuat daripada kayu,” katanya kepada pemberita.
Ismail berkata, bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengawal kebakaran dan api berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 10.15 malam.
Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dalam kebakaran itu dan punca kejadian serta siasatan lanjut sedang dijalankan. — BERNAMA
Comments
0 Comments