Contact Me !


Yuka Karisma Pilih Malaysia Sebelum Indonesia

Posted by Unknown On Tuesday, February 26, 2013


Yuka Karisma, satu nama baru dalam industri hiburan tempatan. Pemilik nama ini bukan rakyat Malaysia, tetapi gadis kelahiran Acheh Utara yang mahu memulakan karier di Malaysia sebelum melangkah seterusnya di Indonesia.
Mendengarkan satu persatu lagu nyanyian Yuka , ternyata Yuka memiliki suara yang boleh dibanggakan. Pun begitu,mendengarkan lenggok vokal Yuka ini, ia persis seperti Bunga Citra Lestari dan ada kalanya umpama Anggun Cipta Sasmi. Namun, Yuka menegaskan dia seorang penyanyi tersendiri yang tidak cuba meniru sesiapa.
“Saya selesa menyerahkan segala penilaian dibuat oleh pendengar. Ini kerana berdirinya saya di dalam industri muzik ini berpaksikan bakat seni sendiri. Justeru, jauh sekali untuk saya meniru gaya sesiapa,” ujar Yuka.
Meminati muzik sejak kanak-kanak, Yuka berkata penghibur antarabangsa yang menjadi digemarinya ialah Whitney Houstan, Mariah Carey dan Sting. Manakala, penyanyi Malaysia yang cukup dikagumi pula adalah Ning Baizura dan Datuk Shiela Majid.
Langkah dan minat Yuka bermula ketika dia menyertai Indonesian Idol pada tahun 2008. Walaupun tidak berjaya menempatkan diri ke peringkat akhir, itu tidak bermakna dia cepat mengalah.


Malah, menerusi Indonesian Idol dia menimba  banyak pengalaman. Sering kali mendapat undangan nyanyian di majlis makan malam yang diadakan di sekitar Jakarta dan Kuala Lumpur, Yuka menganggap Kuala Lumpur seperti sebagai rumah keduanya.
Segalanya bermula pada tahun 2011 dalam sebuah majlis di mana Yuka telah berjumpa pemilik Mentari Management yang begitu berminat untuk mengambilnya sebagai artis mereka , manakala Mewah Event Management menguruskan segala promosi dan publisiti Yuka.
Kata gadis berusia 25 tahun dari Acheh ini, dia kini sudah menghasilkan dua single baru hasil kerjasama dengan komposer ternama Indonesia, Pay dan Dewiq yang pernah menghasilkan lagu untuk penyanyi terkenal Indonesia seperti Rossa, Agnes Monica dan Krisdayanti.
“Bekerjasama dengan mereka adalah peluang keemasan tidak diduga. Saya amat berbesar hati dapat mendendangkan lagu Kita Harus Percaya dan Ku Bersedia ciptaan Pay dan Dewiq itu. Apatah lagi, ia ternyata bukan peluang mudah tanpa usaha gigih yang saya lakukan sepanjang lima tahun ini,” ujar Yuka.
Sebanyak dua buah lagu telah dirakam oleh Yuka berjudul ‘Kita Harus Percaya’ dan ‘Bersedia’ di mana dia turut berkolaborasi dengan Azlan Abu Hassan.

Comments
0 Comments