Contact Me !


Kanak-kanak 4 tahun derita kanser mata

Posted by Unknown On Saturday, February 23, 2013


KUALA KRAI -
Seorang kanak-kanak penghidap kanser mata berusia empat tahun dari Kampung Keroh,terlantar di hospital sejak awal bulan ini selepas keadaan penyakitnya itu bertambah teruk.



Kanak-kanak malang itu, Muhammad Azim dibawa ke Hospital Kuala Krai pada 3 Februari lalu sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, dekat Kota Bharu, kerana berlaku pendarahan.

Ibunya, Nik Zuraidah Nik Yali, 39, berkata, sejak dikesan mula tumbuh pada pertengahan 2011, bonjolan kecil di kelopak mata kiri anaknya itu seolah-olah ‘hidup’ apabila semakin hari semakin membesar.

“Sejak disahkan menghidap Retinoblastoma atau sejenis kanser mata kanak-kanak, sudah banyak kali anak saya menjalani pembedahan dan kimoterapi tetapi keadaannya tidak banyak berubah.

“Kami hantar dia ke HKK baru-baru ini untuk buang ulat dalam bonjol tetapi masa dibersihkan, ada pendarahan dan terpaksa dipindahkan ke HUSM Kubang Kerian sehingga hari ini,” katanya, semalam.
Nik Zuraidah berkata, sejak Muhammad Azim berada di HUSM, dia dan suami, Nor Hazri Ahmad, 40, terpaksa bergilir-gilir menjaganya menyebabkan salah seorang daripada mereka terpaksa meninggalkan kerja.

“Kami terpaksa bergilir-gilir kerja sebab nak jaga dia. Saya kerja seminggu, kemudian cuti untuk jaga anak di hospital dan suami pula kerja seminggu.
“Saya tak tahu sampai bila kami kena bergilir-gilir begini kerana kali terakhir anak saya masuk wad, ambil masa tiga bulan baru dibenarkan keluar sedangkan kami berdua hanya kerja kilang papan,” katanya.

Katanya, dengan pendapatan tidak menentu suami yang hanya dibayar gaji mengikut hari bekerja manakala pendapatannya pula sekitar RM500, keadaan itu amat membebankan mereka sekeluarga.

“Kami kena belanja tidak kurang RM150 seminggu sejak Muhammad Azim dimasukkan ke HUSM dan pada masa sama, ada dua lagi anak kami di rumah masih bersekolah dan perlu ditanggung,” katanya.

Menurutnya, walaupun dia ada menerima RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bantuan itu hanya cukup untuk menampung perbelanjaan harian.
Sumber
Comments
0 Comments